Husam Dilantik Naib Presiden, Ketuai Hala Tuju AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) secara rasmi mengumumkan pelantikan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden parti itu berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata pelantikan Husam untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut diterima sebulat suara kepimpinan parti dan ahli akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Husam yang masa ini menjadi penasihat AMANAH Kelantan dilantik mengisi jawatan Naib Presiden AMANAH.

“Husam akan mengetuai jawatankuasa hala tuju parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti dan menjadi anggota kanan biro politik,” katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Anuar juga berkeyakinan bahawa keputusan kepimpinan parti melantik ADUN Salor itu tepat memandangkan pengalaman Husam yang luas sebagai ahli politik di setiap peringkat.

“Kami yakin dengan pengalaman beliau yang luas dalam bidang politik sebagai ahli Parlimen, ahli Exco kerajaan negeri Kelantan dan anggota Dewan Undangan Negeri akan membantu perjalanan dan perkembangan AMANAH.

“Kita tidak mahu Husam hanya fokus kepada negeri sahaja tetapi nasional juga,” katanya.

Dengan pelantikan itu, Amanah mempunyai empat naib presiden – tiga yang lain adalah Datuk Dr Mujahid Yusof, Hasanuddin Mohd Yunus dan Dr Hasan Bahrom.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Husam yang juga bekas EXCO kerajaan Kelantan mengumumkan menyertai Amanah.

Beliau dipecat keanggotaannya dalam PAS April tahun lalu, susulan lantang mengkritik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-UMNO.