PH Tidak Akan Mansuh GST Andai Tawan Putrajaya

Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian tidak akan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Sebaliknya Nurul Izzah berkata PH akan meneruskan cukai itu dengan menurunkan kadar peratusan semasa yang dianggap tinggi dan membebankan rakyat.

“Kami sedar dengan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.

“Kita (PH) tidak akan mengenakan peratusan yang tinggi dan membebankan rakyat,” katanya ketika berucap dalam ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

Keputusan tersebut jelas bertentangan dengan pendirian beberapa pemimpin utama pembangkang sebelum ini yang mendesak Putrajaya menghapuskan cukai berkenaan.

Awal Januari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang berkata bahawa pembangkang akan menghapuskan GST jika berjaya memerintah Kerajaan Persekutuan.

Selain Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamed, pada majlis pelancaran partinya, juga awal tahun ini, mengisytiharkan akan memansuhkan GST secara beransur-ansur dan diganti dengan cukai jualan “mengikut kehendak rakyat” seandainya pembangkang memenangi pilihan raya umum ini.

Malah PH telah menganjurkan perhimpunan anti-GST di Kuala Lumpur, April lalu sebagai protes terhadap pelaksanaan cukai berkenaan.