DAP Hanya Pandai Tabur Janji, Kata Wee Ka Siong

Pakatan pembangkang yang diketuai DAP hanya pandai menabur janji palsu dalam meraih sokongan pengundi terutama apabila menjelang musim pilihan raya, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata tindakan pakatan itu ibarat cakap tidak serupa bikin apabila menaburkan janji-janji manis kepada rakyat, namun gagal melaksanakannya apabila diberi peluang untuk memerintah.

“Rakyat sekarang sudah sedar. Lihatlah di Pulau Pinang jalan raya atau terowong yang tidak dibina pun dibayar RM200 juta, inilah contoh cakap tidak serupa bikin,? katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Latihan Membaca dan Menulis Esei peringkat Sekolah Menengah di A’ Famosa Resort di sini hari ini.

Program yang menghimpunkan sejumlah 230 guru bahasa Cina dari sekolah menengah kebangsaan di Melaka dan Johor bertujuan memantapkan penguasaan terhadap bahasa berkenaan selain memberi pendedahan kepada para peserta meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.

Wee berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lepas yang meminta pengundi Cina di negara ini agar berhenti daripada terus menjadi mangsa penipuan DAP yang gagal menunaikan janji kepada rakyat. – BERNAMA