Menarik
Tarikh Hari Ini
18 August 2017

Hansard Parlimen Bukti Tun M Tahu Urusan Pembelian Scorpene, Kata Budiman

Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa tidak mengetahui mengenai urusan pembelian dua unit kapal selam Scorpene dari Perancis semasa zaman pentadbirannya dilihat bercanggah dengan Senarai Penyata Rasmi (Hansard) Parlimen bertarikh 21 Oktober 2002.

Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi berkata hansard Parlimen menjadi bukti paling kukuh bahawa pembelian kapal selam Scorpene dilakukan semasa pemerintahan Dr Mahathir dan bukan semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak seperti didakwa pembangkang.

Jawapan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai perjanjian pembelian kapal selam Scorpene antara kerajaan Malaysia dan Perancis.

Katanya, jawapan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang direkodkan dalam hansard berkenaan membuktikan bahawa kerajaan Malaysia telah menandatangani kontrak dengan Syarikat DCNI Perancis, Eza Spain dan Primica Sdn Bhd pada 5 Jun 2002 bagi membeli dua buah kapal selam Scorpene.

“Bagaimana pula pembelian pada kapal selam yang dibeli di zaman Tun M tetapi Tun M dakwa tidak tahu apa-apa? Sebaliknya beliau menuduh pula Datuk Seri Najib membeli kapal selam itu selepas beliau bersara?

“Adakah logik seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang turut berada dalam perbahasan parlimen pada Oktober 2002 tidak mengetahui urus niaga aset pertahanan negara?” soalnya ketika menghubungi Selangor Press.

Jawapan Mohd Shafie mengenai kaedah pembayaran kerajaan Malaysia kepada Perancis dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene semasa Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan pada 20 Oktober 2002.

Tambah Budiman, berdasarkan hansard berkenaan juga menunjukan bahawa Mohd Shafie pada ketika itu telah menjelaskan kepada wakil rakyat pembangkang berkenaan proses pemberian tender dan kaedah pembayaran dilakukan kerajaan Malaysia tersebut dalam urusan pembelian kapal selam itu.

Namun beliau kesal apabila pemimpin pembangkang sengaja memanipulasikan pembelian aset pertahanan negara itu bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan termasuk mengaitkan unsur rasuah dan jenayah.

“Kalau baca hansard ini memang jelas bahawa pembelian (kapal selam) itu berlaku secara telus dan diketahui pihak pembangkang, namun anehnya apabila mereka sengaja memanipulasikan fakta dan data demi kepentingan politik.

“Saya memang kesal dengan sikap pemimpin pembangkang yang cuba mempolitik setiap perkara termasuk berkaitan pertahanan negara demi kepentingan mereka. Tetapi saya lebih kesal kerana ramai pula rakyat kita yang terpengaruh,” katanya.

Budiman turut meminta pemimpin pembangkang terutama Dr Mahathir agar tidak mempolitikkan isu pembelian kapal selam berkenaan kerana akan mengelirukan rakyat kerana bercanggah dengan fakta sebenar.