Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Samseng Umno Dituduh Dalang Kekecohan ‘Nothing to Hide 2.0’

Forum “Nothing to Hide 2.0” yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam petang tadi bertukar kecoh apabila sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan kawapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkaitan tragedi Memali bertindak membaling kasut, kerusi dan botol air ke arah pentas.

Bagaimanapun beberapa petugas keselamatan bertindak pantas dengan melindungi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) daripada terkena objek dibaling peserta yang berang.

Salah seorang urus setia forum berkenaan mendakwa kekecohan itu sengaja ditimbulkan kumpulan provokator tajaan Umno kerana mahu mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu kleptokrasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak daripada didedahkan semasa forum tersebut.

Beliau percaya kekecohan tersebut didalangi Umno ekoran insiden yang ditimbulkan sayap pemuda parti itu di Putra World Trade Centre (PWTC) tempoh hari semasa wakil Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM ingin menghantar undangan forum berkenaan kepada Najib.

Malah dakwanya, tindakan kumpulan tersebut menimbulkan kekecohan seolah-olah terancang dengan individu tidak dikenali membawa suar untuk dibakar semasa forum berlangsung.

Urus setia yang mahu namanya dirahsiakan memberitahu bahawa pihaknya telah menjangkakan kekecohan bakal timbul semasa forum berkenaan, malah akan membuat laporan polis agar siasatan menyeluruh dilakukan.

Dr Mahathir dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dilihat dibawa keluar dari lokasi forum berkenaan dengan selamat, diiringi Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan petugas keselamatan.