Lebih Ramai Pemimpin PH Akan Sertai Umno, Kata Annuar Musa

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan ramai lagi ahli politik Pakatan Harapan (PH) akan menyertai Umno susulan kembalinya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ke parti itu.

Beliau berkata pengumuman perkara berkenaan akan dilakukan secara berperingkat.

“Saya sahkan memang ada ahli Pakatan Harapan yang akan menyertai Umno dan kembali kepada Umno, pengumuman itu kami akan lakukan secara berperingkat, kita tunggu sajalah,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Bersama Rakyat di Kolej Mara Banting semalam.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media yang mengatakan terdapat lapan ahli politik lain dari Selangor sepatutnya menyertai Muhammad Taib ketika beliau diumumkan menyertai kembali Umno Ahad lalu.

Muhammad Taib keluar daripada Umno pada 2013 untuk menyertai Pas dan kemudian meninggalkan Pas untuk menyertai PKR pada 2015.

Mengulas lebih lanjut, Annuar berkata konflik dalaman antara parti komponen PH, tiada agenda membangunkan ekonomi rakyat dan negara dilihat menjadi punca ahli politik berkenaan berminat dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“PH ini bukan sebenarnya mahu membantu rakyat dan membangunkan negara, mereka hanya berebut kuasa dan membuat tohmahan dan fitnah semata-mata.

“…dan sekarang banyak tohmahan dan fitnah mereka ini terjawab dengan sendiri, isu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditangkap jika ke Amerika Syarikat ternyata tipu, isu 1MBD, wang derma daripada keluarga diraja Arab Saudi, semua itu sudah terjawab dan rakyat sendiri dapat melihat permainan kotor politik pembangkang ini,” katanya. – BERNAMA