Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Makkal Sakti Ikrar Akan Sokong Penuh Semua Calon BN Pada PRU 14

Parti Makkal Sakti berikrar akan menyokong penuh semua calon ditampilkan Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata sokongan yang bakal diberikan kepada calon BN bukan janji kosong dan akan dibuktikan dalam PRU-14 nanti.

Katanya, kira-kira 10 tahun parti itu memberikan sokongan penuh kepada calon BN yang bertanding setiap kali pilihan raya di negara ini dan sokongan itu akan berterusan.

“Jangan sesekali memperlekehkan sokongan ahli Parti Makkal Sakti yang banyak membantu calon BN memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen selama ini dalam pilihan raya.

“Sokongan ahli parti ini dijangka terus bertambah di mana baru-baru ini 600 kaum India di Bukit Gantang dan 777 orang di Bagan Serai menyertai parti ini dan semua terdiri daripada ahli di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Perayaan Deepavalli Peringkat Negeri Perak anjuran Makkal Sakti Muallim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, dekat Slim River, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu ngeri, Datuk Dr Mah Hang Soon; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib dan Pengerusi Parti Makkal Shakti Muallim, SK Rao.

Kira-kira 3,000 ahli dan pimpinan peringkat pusat serta ketua bahagian parti hadir untuk memberi sokongan dan menyampaikan mesej akan terus memberi sokongan kepada BN dalam PRU 14.

Sempena majlis itu, Thanenthiran turut menyampaikan sumbangan kotak bekalan makanan dari Yayasan Bina Upaya (YBU) dan lima basikal kepada pelajar sekolah.

Sementara itu, Rao berkata, sehingga kini beliau sudah mendapatkan sokongan penuh kira-kira 1,500 kaum India untuk mengundi calon BN pada pilihan raya nanti.

Katanya, gerak kerja untuk mendapatkan sokongan kira-kira 7,757 pengundi kaum sama di Parlimen Tanjung Malim akan diteruskan dengan aktiviti kemasyarakatan dan turun padang bertemu dengan pengundi kaum itu yang mampu menyumbang kejayaan calon BN pada PRU 14 tidak lama lagi.