Calon PPBM Dan DAP Tidak Perlu Isytihar Harta Untuk PRU Ke-14, Kata Rafizi

Pengasas Invoke Malaysia (Invoke), Rafizi Ramli menegaskan bahawa pihaknya tidak akan meminta calon DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada pilihan raya umum kali ini untuk membuat pengisytiharan harta.

Rafizi berkata keputusan itu dibuat memandangkan kerusi yang disandang DAP dan PPBM bukanlah kerusi marginal (genting) dan tidak wujud keperluan untuk Invoke mengarahkan calon dari kedua parti itu untuk melakukan pengisytiharan harta.

“Mereka bukan kerusi marginal jadi ia sangat sukar untuk meyakinkan orang ramai untuk datang dan membantu kempen kami (Invoke) sebagai sukarelawan,” kata Rafizi semasa majlis mengumpul sumbangan dana Invoke di Subang Jaya, malam tadi.

Kata Rafizi, tidak wujud keperluan kepada calon di bukan kerusi marginal untuk melakukan pengisytiharan harta memandangkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang cerah untuk menang di kerusi tersebut.

Tambah beliau, kerusi Parlimen Pandan yang disandangnya juga tidak termasuk dalam sasaran kempen Invoke memandangkan beliau yakin bahawa Pakatan Harapan mampu mempertahankan kawasan tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengulas desakan pihak tertentu yang meminta Invoke mengarahkan pemimpin PPBM melakukan pengisytiharan harta, Rafizi berkata bahawa parti diterajui Tun Dr Mahathir Mohamed itu hanya mempunyai dua wakil rakyat, iaitu seorang Ahli Parlimen dan seorang Adun.

Malah dakwanya lagi, tidak wujud keperluan untuk pemimpin PPBM mengisytiharkan harta kerana parti tersebut masih baru dan belum mempunyai ‘kerusi tradisi’ untuk dipertahankan dalam pilihan raya umum akan datang.

Rafizi sebelum ini ditemplak oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamed apabila mendakwa bahawa rancangan pengisytiharan harta kalangan calon pakatan pembangkang itu adalah hanya usaha Rafizi dan bukanlah melalui persetujuan bersama.

Bagaimanapun, Rafizi yakin bahawa rancangan pengisytiharan harta yang akan dilakukan melalui Invoke akan dilaksanakan dan sejumlah 30 wakil rakyat dari PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) telah menyatakan persetujuan untuk menyertai pengisytiharan tersebut.

Kata Rafizi, majoriti wakil rakyat yang telah bersetuju dengan rancangan Invoke itu hampir pasti akan bertanding di kerusi semasa mereka dan bakal menandatangi “Akujanji Khidmat Rakyat” untuk memberi jaminan bahawa mereka tidak akan melompat parti sekiranya menang dalam PRU akan datang.

Beliau juga yakin lebih ramai pemimpin terutama dari PPBM akan menyertai rancangan itu selepas rundingan kerusi di kalangan PH selesai.

“Apabila rundingan kerusi selesai, saya pasti PPBM akan muncul dalam kumpulan seterusnya. Ideanya adalah akan ada yang isytihar harta setiap bulan.”

Menurutnya, usaha itu akan memberi tekanan kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk melakukan tindakan serupa, selain membuktikan ketelusan pemimpin PH.

Daripada 30 wakil rakyat yang menyatakan persetujuan untuk menyertai rancangan Invoke itu – 20 daripadanya adalah calon PKR, sembilan daripada Amanah dan manakala Datuk Mahfuz Omar adalah merupakan pemimpin tunggal dari Pas.