Dr Mahathir Akui Paling Cermat Guna ISA Berbanding Tiga PM Sebelum Beliau

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan bahawa beliau merupakan individu yang paling cermat dalam menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berbanding tiga perdana menteri sebelum beliau semasa mereka berkuasa.

Dr Mahathir berkata selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri, hanya 1,200 orang sahaja ditangkap menggunakan akta itu berbanding lebih 8,000 orang yang ditahan semasa zaman tiga perdana menteri terdahulu.

“Di zaman Tunku Abdul Rahman, beliau jadi perdana menteri selama 13 tahun lebih 2,000 orang ditangkap guna ISA. Tun Abdul Razak jadi perdana menteri selama enam tahun, juga 2,000 lebih orang ditangkap guna ISA.

“Tun Hussein Onn jadi perdana menteri lima tahun, 4,000 orang ditangkap. Tetapi saya hairan tidak ada siapa marah pada mereka,” katanya menjawab soalan dalam sesi khas bersama anak muda di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, malam tadi.

Mahathir turut mempersoalkan tindakan masyarakat yang teruk mengkritik beliau dan beranggapan beliau menyalahgunakan ISA demi kepentingan politik, sebaliknya tidak menyelar Tunku Abdul Rahman, Abd Razak dan Hussein yang juga menggunakan akta sama.

“Bahkan mereka lebih bengis daripada saya.”

Menurut Mahathir, penangkapan menggunakan ISA ketika pentadbirannya adalah atas alasan yang kukuh berbanding penangkapan pada masa ini di bawak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

“Berbeza dengan zaman ketika saya guna ISA sebab mereka boleh gugat keharmonian negara. Itu sebab mereka ditangkap,” katanya.

Mahathir menjadi sasaran kritikan berkaitan penggunaan ISA dan sering dikaitkan dengan pelbagai penangkapan musuh politiknya menggunakan undang-undang draconian itu.

Penggunaan ISA paling diingati rakyat ialah Operasi Lalang yang dilakukan pada Oktober 1987 menyebabkan 106 orang termasuk aktivis masyarakat, pemimpin NGO, ahli politik pembangkang, intelektual dan aktivis pelajar ditahan tanpa perbicaraan, namun Mahathir mendakwa penangkapan tersebut perlu dibuat demi memastikan keharmonian negara.