Dr Mahathir Akui Tempoh Panjang Terajui Kerajaan Punca Nepotisme, Korupsi

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamed yang menjadi menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun mengakui bahawa pemimpin yang terlama menerajui kerajaan akan menyebabkan berlakunya amalan korupsi dan nepotisme.

Beliau berkata kecenderungan untuk terus mengekalkan kuasa dalam keluarga pemimpin tersebut akan menyebabkan mereka terpaksa mempergunakan “segalanya” demi memenuhi kehendak tersebut.

Beliau memberikan contoh pemimpin kontroversi Afrika, Robert Mugabe yang menjadi presiden Zimbabwe selama 30 tahun sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera minggu lalu.

“Ada kecenderungan untuk mengekalkan kuasa di kalangan keluarga, dan ia membawa kepada kuasa mutlak, dan kuasa mutlak akan membawa kepada korupsi secara mutlak,” ulasnya dalam sesi soal jawab bersama golongan anak muda, baru-baru ini.

Bagaimanapun Mahathir menafikan bahawa beliau mengamalkan nepotisme seperti didakwa musuh politiknya, sebaliknya bertegas bahawa beliau hanya membenarkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai politik selepas beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri.

“Apabila saya meletak jawatan, saya fikir anak saya tidak perlu lagi mengorbankan cita-cita politiknya demi menjaga reputasi saya.”

Tambah Mahathir, sepanjang pemerintahannya, beliau telah melaksanakan pelbagai polisi dalam usaha menghalang amalan nepotisme dari berlaku dalam kerajaan termasuk menyekat kuasa raja Melayu dalam pentadbirannya.

“Kuasa eksekutif itu sebaliknya diberikan kepada perdana menteri. Tetapi walaupun perdana menteri dipilih oleh anda dan dia terlalu lama di situ, dia mungkin akan mewujudkan dinasti.

“Sebab itu pilihan raya diadakan, tetapi masih ada kecendurangan memusatkan kuasa kepada keluarga.”