Gelaran Negarawan Bukan Lesen Dr Mahathir Hina Pemimpin Lain, Bugis

Gelaran negarawan bukan lesen untuk merendahkan pemimpin lain, termasuk menggunakan isu bangsa yang begitu sensitif di negara ini, kata bekas presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), Datuk Osman Jamal.

Kenyataan itu khas ditujukan kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina Bugis dalam ucapannya pada perhimpunan pembangkang di Petaling Jaya, Selangor pada 14 Oktober lepas apabila didakwa melabelkan Bugis sebagai lanun.

“Negarawan itu (Dr Mahathir) kita hormati sebab ada dalam sejarah, kita tak pernah anti Tun M, beliau pemimpin yang telah berjasa membangunkan negara ini, tetapi itu bukan lesen untuk beliau memaki hamun sesuka hati.

“Kita tak mahu mana-mana orang memaki orang lain berdasarkan kaumnya, apatah lagi negarawan, sebab ini isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan menyebabkan keharmonian negara tergugat,” katanya pada Perhimpunan Maruah Bugis Sabah Red 26, di Kompleks Sukan Tawau, hari ini.

Perhimpunan Maruah Bugis Sabah Red 26 yang bermula 7.00 pagi itu dihadiri kira-kira 5,000 orang Bugis di Sabah dan Labuan bagi menuntut Dr Mahathir memohon maaf berhubung kenyataannya itu.

Presiden Rumpun Bugis SeMalaysia, Datuk Samsul Alang Hamzah pula berkata, sebanyak 60 laporan polis dibuat persatuan Bugis di seluruh negara terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataannya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKBS, Abdul Gani Zelika berkata, pihaknya turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi mendesak Dr Mahathir memohon maaf dan jika enggan berbuat demikian, mereka meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan mengikut undang-undang relevan terhadap bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, di Lahad Datu, kira-kira 400 masyarakat Bugis turut mengadakan perhimpunan di kawasan Bandar Sri Perdana tanda solidariti berhubung perkara sama.

Setiausaha PKBS cawangan Lahad Datu, Musa Muhammad turut membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir. – BERNAMA