Hisham Sokong Ahmad Zahid Sebagai Timbalan Presiden Umno, Kekal Jawatan Najib

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa beliau menyokong cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam partinya tidak dipertandingkan dalam pemilihan agung parti itu pada tahun hadapan.

Hishammuddin berkata cadangan tersebut akan memastikan ahli Umno fokus terhadap Pilihan Raya Umum Ke-14, selain memastikan tiada pihak dapat mewujudkan pertelagahan dalaman dengan melaga-lagakan dua pemimpin tertinggi parti itu.

“Perkara paling penting untuk kita ialah jentera dan kepimpinan Umno di semua peringkat memfokuskan PRU14.

“Jika ia bermakna dua jawatan tertinggi kekal tidak dipertandingkan kerana usul dikemukakan di peringkat bahagian, maka saya akan menyokongnya,” katanya kepada pemberita.

Kata Hishammuddin, cadangan untuk mengekalkan dua jawatan tertinggi itu juga dapat menghalang konflik kalangan akar umbi terutama kumpulan penyokong pemimpin tertentu daripada bertelagah.

Tambahnya lagi, hubungan baik yang terjalin antara beliau dan Ahmad Zahid juga akan memperkukuhkan lagi kekuatan parti menghadapi pilihan raya akan datang.

“Ia (juga) menghalang orang daripada cuba melaga-lagakan Zahid dengan saya, Zahid dan perdana menteri atau saya terhadap perdana menteri.

“Saya rasa akhirnya kami berdua menyedari parti memerlukan kami bertiga untuk bersatu.

“Saya tidak akan membuat kenyataan peribadi mengenai kedudukan presiden dan timbalan presiden jika saya tidak maksudkannya,” katanya lagi.

Ogos lalu, Umno Bahagian Masjid Tanah yang diketuai Setiausaha Kerja Umno Malaysia, Datuk Abd Rauf Jusoh meluluskan usul mencadangkan agar jawatan Presiden yang kini disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden yang dipangku Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan dan kekal memegang dua jawatan tertinggi.