Istilah Angkatan Bersatu Anak Muda Langgar Perlembagaan PPBM, Kata RoS

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendapati istilah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) iaitu sayap Pemuda PPBM tidak terkandung dalam perlembagaan parti itu.

Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata pengunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan adalah melanggar perlembagaan parti itu sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.

Justeru, kesalahan ini dilihat berat dan boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga ini jabatan itu belum meluluskan pindaan perlembagaan PPBM yang menggunakan istilah ‘Armada’ untuk jawatankuasa Pemuda PPBM.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih diteruskan bagi meneliti isu tersebut.

Surayati berkata RoS sebelum ini menerima aduan daripada sebilangan ahli PPBM termasuk ahli Armada yang dipecat serta aduan daripada ahli lain yang bertanyakan mengenai status pengurusan PPBM kerana mesyuarat agung sehingga kini belum dilaksanakan. – BERNAMA