Ku Nan Akui Hidup Mewah Dan Berfoya-Foya Sebelum Dapat Hidayah Sertai Umno

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada pembangkang agar tidak mengelirukan rakyat mengenai dirinya kerana beliau telah tersenarai sebagai antara individu terkaya di negara ini pada tahun 1980-an sebelum menyertai politik.

Tengku Adnan berkata, beliau telah memiliki jet peribadi, kapal layar mewah dan mampu pergi ke mana-mana kerana kemampuan peribadi dan bukan bergantung dengan parti politik seperti didakwa pemimpin pembangkang.

Beliau mengakui hidup ‘berfoya-foya’ sebelum dipanggil Presiden Umno ketika itu, (Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamed untuk menjadi Setiausaha Kerja parti terbesar Melayu itu.

“Sebab itu pembangkang cakap bukan-bukan. Saya marah. Tak tahu siapa saya, jangan cakap.

“Dahulu, saya hidup berfoya-foya sana-sini, kapal terbang sendiri, kapal layar ada, semua ada. Nak makan di mana? Hong Kong? Singapura?

“Tapi Allah sayang saya. Pada akhir 1998, saya teringat dipanggil jadi Setiausaha Kerja Umno. Saya beritahu presiden saya, yang saya akan berkhidmat selama enam bulan, kemudian mahu kembali ke dunia korporat.

“Tetapi dari November 1998 sampai ke hari ini saya jadi begini (terlibat dalam Umno).

“Jangan kelirukan rakyat tentang saya. Apa yang berlaku pada saya hari ini saya bersyukur kepada Allah,” katanya dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Nadi Negara di PWTC hari ini.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan bagaimanapun tidak menjelaskan secara khusus bentuk kekeliruan yang dibuat oleh pembangkang terhadapnya.

Namun mendakwa bahawa keputusannya untuk meneruskan khidmat dalam Umno demi menunaikan tanggungjawabnya kepada orang Melayu walaupun selepas tamat tempoh enam bulan yang dijanjikan.

Katanya lagi, beliau turut ditawarkan untuk bertanding ketika menjawat sebagai setiausaha kerja, namun terpaksa menolak demikian kerana niat asalnya hanyalah untuk berkhidmat kepada Umno.

Bagaimanapun, beliau akhirnya akur untuk juga untuk bertanding demi kepentingan parti.

Anggota Parlimen Putrajaya itu turut menyelar sikap sebilangan ahli Umno yang terlalu inginkan jawatan berbanding berkhidmat kepada rakyat.

“Banyak ahli Umno sekarang yang kadangkala hendak sangat jawatan, hendak jadi wakil rakyat, saya tak faham,” katanya.