Hindari Amalan Maki Hamun Dalam Kempen Pilihan Raya, Nasihat Mufti Perlis

Para pemimpin politik dinasihatkan menghindari amalan memaki hamun semasa berkempen dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang membuat peringatan itu berkata amalan berkenaan dilarang oleh Islam apatah lagi orang yang dimaki itu hanya musuh politik.

Beliau menyatàkan demikian pada kuliah mingguannya di Masjid Alwi, Kangar malam tadi.

“Contohilah amalan Nabi Muhammad yang tidak pernah sama sekali memaki hamun orang yang menentang baginda semasa berdakwah,” katanya.

Mohd Asri berkata terdapat hadis mengisahkan Nabi Muhammad memarahi isteri baginda, Aishah kerana membalas salam seorang bangsa Yahudi yang membawa maksud tidak baik dan tidak melambangkan keindahan ajaran Islam.

Beliau kesal kerana segelintir pemimpin parti politik di negara ini memulakan ceramah dengan memberi salam tetapi sepanjang ceramah dipenuhi dengan maki hamun dan membuat pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap musuh politik parti mereka. – BERNAMA