Pengasas PPBM Gesa Rakyat Malaysia Jangan Undi Dr Mahathir

Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin menggesa rakyat Malaysia agar tidak mengundi Tun Dr Mahathir Mohamed yang bakal menjadi perdana menteri seandainya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) akan datang.

Anina berkata rakyat seharusnya membuat keputusan tepat tanpa dipengaruhi sentimen individu, sebaliknya meletakkan kepentingan survival bangsa sebagai keutamaan dalam menentukan parti dan calon yang dipilih.

Katanya yang kini mengetuai badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Empirical Malaysia, keputusan setiap pengundi pada pilihan raya ini akan menentukan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera dalam mendepani cabaran masa depan serta generasi akan datang.

“Kita turun mengundi nanti ini untuk masa depan anak cucu nanti, bukan untuk diri kita, bukan kerana kita taksub pada sesiapa ataupun undi kerana dia bina bangunan tertinggi, bukan undi kerana dia bina Putrajaya (merujuk kepada Dr Mahathir),” katanya.

Bercakap dalam sidang media sempena program Empirical Talk, hari ini, di Kuala Lumpur, Anina meminta orang Melayu agar kembali bersatu dan melaksanakan tanggungjawab mereka pada PRU 14 demi kepentingan bangsa itu.

Tambahnya, perpecahan parti politik Melayu menyebabkan orang Melayu juga berpecah kepada lima kumpulan kecil yang amat berbahaya kepada survival bangsa.
.
“Sekarang orang Melayu dibahagi antara 5 parti – Umno, Bersatu (PPBM), Amanah, PAS dan PKR.

“Dari satu bangsa yang besar, kita terbahagi kepada kumpulan kecil. Ini bahaya untuk bangsa. Harus memikir tentang survival bangsa Melayu.”

Beliau turut mengesahkan dirinya tidak akan bertanding dalam PRU 14 kerana memberi tumpuan kepada agenda Empirical yang ditubuhkannya Oktober lalu yang menjadikan perjuangan dasar dan ekonomi Melayu serta Bumiputera sebagai matlamat utama.