PPBM Cuma Mampu Menang Hingga Enam Kerusi, Menurut Kajian PRU 14

Firma penyelidikan media sosial, Politweet.org meramalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya mampu memenangi antara tiga hingga enam kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), sementara Parti Amanah Negara (Amanah) akan memenangi antara 14 hingga 18 kerusi parlimen jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Menurut firma tersebut, kedua-dua parti itu akan bertanding di kerusi yang sukar dan hanya mampu memenangi sedikit kerusi walaupun tanpa kehadiran Pas untuk memecah-belahkan undi.

PPBM yang disebut-sebut sebagai pilihan alternatif kepada Umno akan bertanding di 52 kerusi parlimen seluruh Semenanjung Malaysia, manakala Amanah pula akan meletakkan calon di 27 kerusi parlimen.

Kata Politeet, berdasarkan simulasi dijalankan PPBM dijangka mampu memenangi sehingga 17 kerusi, manakala Amanah sehingga 22 kerusi jika wujud peningkatan sokongan pengundi sebanyak lima peratus menjelang PRU 14 nanti.

Namun berdasarkan kepada situasi semasa, Politweet menjangkakan bahawa 62 peratus pengundi di kawasan parlimen ditandingi PPBM lebih cenderung mengundi Barisan Nasional (BN), manakala hanya 50 peratus pengundi yang cenderung mengundi BN di kerusi yang ditandingi Amanah.

Simulasi yang dijalankan Politweet itu mengandaikan situasi pembangkang yang bersatu dan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan (PH).

Tambah firma tersebut, kewujudan Pas dalam pertembungan PRU 14 nanti bakal memberi kesan lebih buruk kepada PPBM dan Amanah.

“Dengan PAS memecahkan undi, tidak banyak kerusi yang akan dimenangi oleh PPBM dan Amanah,” kata firma itu.

Kata firma itu lagi, pertembungan tiga penjuru akan menyaksikan hampir semua kerusi yang ditandingi Amanah turut ditandingi Pas berdasarkan kepada rekod pada PRU 13, menyebabkan pengundi pembangkang berpecah kepada dua kelompok.

Firma berkenaan juga percaya bahawa proses persempadanan semula yang akan selesai sebelum PRU 14 akan memberi peluang lebih baik kepada BN untuk memenangi lebih 10 kerusi parlimen daripada PH.

Respon Dr Mahathir

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamed yang diminta mengulas mengenai kajian Politweet secara sindiran meminta pakar dan penganalisis politik untuk membuka firma perundingan bagi meramalkan masa depan.

“Orang-orang ini perlu membuka firma perundingan mengenai bagaimana untuk meramalkan masa depan.

“Mereka tahu lebih banyak mengenai apa yang boleh berlaku berbanding manusia biasa.

“Ya, kita hanya akan bertanding enam kerusi,” sindirnya semasa sidang akhbar di Petaling Jaya petang ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata gabungan pembangkang itu akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan satu salinan daftar pemilih terkini.

Beliau mendakwa telah menemui beberapa percanggahan dalam salinan yang mereka miliki seperti 3.9 juta pengundi yang tidak mempunyai alamat lengkap.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa PH akan meminta kerajaan memanggil pemerhati antarabangsa untuk memantau pilihan raya umum akan datang.

“Ini perlu dilakukan oleh kerajaan, jadi kami akan minta kerajaan membuat permintaan kepada Komanwel, PBB dan sebagainya,” katanya.