Henti Spekulasi, Serahkan Kepada PM Untuk Tentukan Kerusi Saya, Gesa Shahrizat

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menggesa semua pihak agar menghentikan segala spekulasi berkaitan kawasan parlimen yang bakal ditandinginya dan memberikan fokus lebih utama kepada pengukuhan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14)

Shahrizat berkata keputusan mengenai calon yang akan bertanding di sesuatu kawasan adalah terletak di bawah bidang kuasa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Katanya, beliau kini lebih mengutamakan tugasnya sebagai Ketua Wanita Umno-Barisan Nasional terutama dalam memastikan kesiapsiagaan jentera sayap itu menjelang pilihan raya umum.

“Saya sudah kata, hentikan spekulasi tentang siapa jadi calon di mana. Tugas saya sebagai ketua Wanita Umno dan ketua Wanita Barisan Nasional (BN) adalah menentukan jentera wanita mantap. Isu siapa jadi calon di kawasan mana, itu kita serah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 di Padang Bola Sepak Jinjang Utara, Kepong, hari ini.

Kenyataan Shahrizat itu sebagai mengulas desas-desus yang mendakwa beliau sedang mempertimbangkan beberapa kerusi parlimen termasuk Putrajaya, Sungai Besar dan Hulu Selangor untuk ditandinginya pada PRU 14 nanti.

Tambah Shahrizat, beliau hanya boleh mencadangkan nama calon Wanita, namun tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kerusi yang akan ditandingi.

Spekulasi mengenai kerusi parlimen yang bakal ditandinginya mula menjadi hangat semenjak minggu lalu apabila beberapa pengamal media pro-Umno dikesan mula menularkan perkara tersebut di media sosial.

Bagaimanapun perkara berkenaan menarik tumpuan banyak pihak susulan kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, semalam, yang mengundang Ketua Wanita itu untuk bertanding di parlimen Sungai Besar.