Ismail Persoal Sikap Berdiam Diri Rafizi Terhadap Korupsi, Lemah Tadbir Urus Selangor

Sikap Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli yang memilih mendedahkan kelemahan tadbir urus dan korupsi secara selektif memperlihatkan bahawa pemimpin itu bukan benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan isu berkenaan, sebaliknya hanya berlandaskan kepada kepentingan politik untuk memburukkan parti lawannya.

Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata pendedahan dilakukan Rafizi hanya tertumpu kepada isu terpilih bertujuan memberi imej buruk kepada kerajaan yang dinaungi Umno-Barisan Nasional sahaja.

Katanya, banyak isu korupsi dan kelemahan tadbir urus dalam kerajaan Selangor tidak dipedulikan oleh Rafizi, seolah-olah menunjukkan pemimpin itu mengamalkan “double standard” dalam menilai sesuatu isu.

“Kalau tengok kerajaan Selangor sekarang banyak sangat kelemahan dalam pengurusan. Bajet defisit, pelbagai penyelewengan seperti didedahkan media, tetapi mengapa Rafizi senyap?

“Lihat sahaja kes rasuah pasir melibatkan anak saudara menteri besar Selangor, mana keberanian Rafizi dedahkan bahawa wujud kartel yang mengawal pasir di Selangor sehingga saya diberitahu Kumpulan Semesta pun terpaksa tunduk kepada mereka?

“Adakah apabila melibatkan pemimpin pembangkang, Rafizi terus tutup mulut, tetapi apabila melibatkan pemimpin Umno, dialah paling ‘champion’ kononnya pejuang isu rakyat?” katanya.

Ismail turut menyelar sikap Rafizi yang menyerang pemimpin Umno-BN menggunakan sentimen peribadi termasuk dalam isu National Feedlot Corporation (NFC).

“Mengapa Tan Sri Shahrizat Jalil turut dikaitkan dengan NFC sedangkan yang menjalankan perniagaan itu suaminya? Apakah setiap syarikat yang diuruskan oleh suami atau isteri menghadapi masalah, pasangan mereka juga terpalit sekali?”

Kelemahan Tadbir Urus Kerajaan Selangor

Mengulas lebih lanjut mengenai kelemahan tadbir urus pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ismail berkata bajet kerajaan negeri untuk tahun ini jelas mengambarkan ketidakcekapan dan keborosan Selangor berbelanja.

“Kita faham kadang-kadang bajet kerajaan ini ada defisit. Tetapi kalau defisit sampai RM600 juta, ini bukan kebiasaan, sebaliknya ini membuktikan kerajaan Selangor tidak berhemah dalam menguruskan kewangan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kaedah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil tambahan bagi menampung defisiti tersebut.

“Bagaimana kerajaan Selangor mahu cari RM600 juta untuk ‘cover’ perbelanjaan dalam bajet mereka? Adakah selepas pilihan raya, jika mereka menang, mereka akan naikkan cukai itu dan ini untuk tampung defisit ini?

“Saya fikir sudah sampai masanya, rakyat mula melihat bahawa kerajaan ideal yang digambarkan Pakatan Harapan itu tidak wujud. Mereka lagi banyak kelemahan dari kita (Umno-BN), tetapi orang macam Rafizi yang nampakkan mereka seolah-olah suci.”