Nurul Izzah Komited Mahu Kekal Bertanding Di Parlimen Lembah Pantai

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan kekal bertanding dan mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14)

Nurul Izzah berkata beliau komited untuk kekal di kerusi tersebut, namun menyerahkan semua keputusan berkaitan kedudukannya pada PRU 14 nanti kepada pucuk pimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya komited untuk mempertahankan kerusi Lembah Pantai, bagaimanapun keputusan akhir di tangan pucuk pimpinan,” katanya pada sidang media di sini.

Naib Presiden PKR itu percaya bahawa pengundi kawasan tersebut bijak dalam menentukan parti dan pemimpin yang layak untuk memegang kerusi parlimen tersebut.

Nurul Izzah menyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai semenjak 2008 selepas beliau mengalahkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan ahli parlimen kawasan tersebut selama tiga penggal.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan mengatasi cabaran bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.