Ulama Muda Umno Hanya Landasan Politik Untuk Najib Kekal Berkuasa, Kata IRF

Penubuhan “Ulama Muda Umno” yang beraliran Salafi dilihat hanya berlandaskan kepada kepentingan politik untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak terus berkuasa dan mempertahankan kedudukannya.

Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berkata sikap penganut Islam beraliran Salafi yang menganjurkan tolak ansur kepada pemimpin selagi mereka masih menjaga solat disifatkan memberi banyak kelebihan politik kepada Umno.

Katanya, aliran Salafi yang turut berkait rapat dengan Wahabi menjadi paksi kepada pemerintahan beraja Arab Saudi untuk terus kekal berkuasa.

“Saya percaya apabila perdana menteri kita sekarang, Datuk Seri Najib Razak, mendapat idea itu dan melihat bagaimana raja-raja Saudi mempertahankan kuasa mereka selama ini, dia merasakan ia idea (menerima aliran Salafi) yang bagus,” kata Dr Farouk di majlis pelanacaran buku bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, Zeidgeist: Building Bridges for a Greater Malaysia, hari ini.

Tambah Dr Farouk, penubuhan Ulama Muda Umno itu membuktikan betapa parti itu didominasi golongan pemimpin jahil agama kerana membiarkan graduan Timur Tengah menerapkan ajaran Islam berdasarkan tafsiran yang digunakan di Arab Saudi.

“Kebanyakan agensi Islam pernah didominasi oleh golongan tradisional tetapi pada lewat 2000, dengan pembentukan Ulama Muda Umno, ada satu anjakan paradigma dan golongan-golongan ini condong daripada tradisionalisme kepada Salafisme.”

Katanya lagi, kecenderungan parti pemerintah kepada ajaran Salafisme itu membawa negara ini kepada pembentukan sistem ortodoks yang menekan umat Islam, selain cuba menimbulkan kebencian terhadap parti didominasi pemimpin bukan Islam.

“Orang seperti saya dan Zaid tidak membesar dalam keadaan di mana pemimpin agama berpesan semua perkara itu. Semua perkara it berlaku tiba-tiba kerana satu lagi doktrin yang dipegang golongan Salafi, Al wala’ wa-al barra’ (taat setia dan berlepas diri dari kekufuran) yang secara asas bermakna tidak dibenarkan menjalin sebarang kerjasama dengan orang kafir.”

Menurut beliau lagi, sikap golongan Salafi yang keras terhadap aliran Islam yang lain seperti Syiah dan menegah ucapan terhadap penganut agama lain seperti ‘Merry Christmas‘ menjejaskan keharmonian antara agama yang wujud di Malaysia.

Beliau berpandangan wujud kewajaran untuk rakyat di Malaysia menukar parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) agar doktrin Islam ala Arab Saudi yang sedang mekar dalam Umno berjaya dikekang dan keharmonian masyarakat majmuk boleh dikekalkan.