Serbu Premis Judi, Jamal Langgar Undang-Undang

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata tindakan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos melakukan pemeriksaan dan serbuan premis judi tanpa kebenaran adalah melanggar undang-undang jika pemilik premis tampil membuat laporan, selain turut mengancam keselamatan.

Menurut beliau, Jamal seharusnya menggunakan saluran yang betul seperti menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa tempatan sesebuah daerah berhubung aktiviti premis perjudian di sekitar Selangor.

Tambah Abdul Samah Mat, tindakan Jamal itu melanggar undang-undang ditetapkan iaitu melakukan pencerobohan ke atas sesuatu tempat.

“Jika pemilik sesebuah premis membuat laporan, Datuk Seri Jamal boleh dikenakan tindakan atas kesalahan berkenaan.

“Dia mungkin mempunyai niat yang baik untuk mendedahkan kegiatan judi dan maksiat serta pusat hiburan haram sekitar Selangor, namun gunakanlah saluran yang betul,” katanya kepada pihak media.

Beliau memberitahu, Jamal boleh membuat laporan polis berhubung aktiviti seperti ini jika berpendapat tindakannya untuk memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, tidak dilayan.

“Saya bimbang juga kerana aktiviti mesin judi mempunyai rangkaian dengan elemen kongsi gelap dan ini boleh membahayakan dirinya sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Samah akan turut meneliti secara terperinci mengenai dakwaan Jamal bahawa terdapat sekurang-kurangnya lebih 400 premis perjudian di sekitar daerah Ampang Jaya dan mengambil tindakan sewajarnya seandainya dakwaan tersebut benar.