Caj Beg Plastik Masuk Kantung Peniaga, Kata Exco Selangor

Kerajaan Selangor mendakwa bahawa caj RM0.20 yang dikenakan kepada pengguna untuk setiap beg plastik sempena polisi “Hari Tanpa Beg Plastik” diambil oleh peniaga dan tidak diserahkan kepada kerajaan negeri seperti pandangan banyak pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Tek­nologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong berkata bayaran untuk beg plastik tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun peniaga sama seperti produk lain dan bukanlah dikutip untuk disalurkan ke ‘kantung’ kerajaan negeri.

Kata Elizabeth lagi, keputusan untuk menggunakan hasil kutipan caj tersebut ditentukan oleh peniaga, namun pihaknya telah mengesyorkan kepada peniaga agar kutipan itu dapat disalurkan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

“Caj minimum 20 sen adalah syarat penetapan kadar harga terendah yang perlu dikenakan untuk setiap penggunaan beg plastik, tetapi bergantung kepada pe­niaga untuk menetapkan harganya dan ia di­jual seperti barangan runcit yang lain.

“Peniaga bagaimanapun disyor­kan me­nyalurkan ku­tipan itu untuk CSR atau kepada badan-badan amal yang melakukan usaha pemuliharaan alam sekitar khasnya ataupun pertubuhan kebajikan amal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Elizabeth lagi, objektif pelaksa­naan polisi itu bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik demi kelestarian alam sekitar.

“Pada awal pelaksanaan kempen ini sudah tentu ramai orang tidak biasa tetapi sebelum ini telah pun dilaksanakan di Melaka dan Pulau Pinang,” katanya lagi.

Keputusan kerajaan Selangor untuk memperluaskan polisi “Hari Tanpa Beg Plastik” kepada setiap hari berbanding hanya pada hari Sabtu bermula 1 Januari tahun ini mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mengesa kerajaan negeri untuk memberitahu rakyat mengenai cara wang hasil caj beg plastik disalurkan.