Caj Beg Plastik Untuk Didik Rakyat, Bukan Kaut Keuntungan

Keputusan kerajaan Selangor mengenakan caj terhadap setiap beg plastik sempena polisi “Hari Tanpa Beg Plastik” bukanlah untuk mengaut keuntungan daripada rakyat, sebaliknya bertujuan mendidik agar mereka membawa beg ketika membeli-belah.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri perlu bertindak untuk mengurangkan jumlah penggunaan beg plastik dalam kehidupan seharian rakyat demi menjaga alam sekitar.

“Untuk kempen mengurangkan pengguna beg plastik matlamat utama bukan untuk menggantikan beg plastik tetapi mendidik rakyat menggunakan beg sendiri.

“Kalau cadang untuk menggantikan beg plastik dengan kertas atau beg bebas plastik dan sebagainya ia tidak mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Kenyataan beliau itu secara tidak langsung menjawab kritikan netizen pro-Umno yang menuduh pelaksanaan caj beg plastik dikenakan kerajaan Selangor bertujuan mengaut keuntungan, selain mendakwa tidak praktikal.

Elizabeth turut menyeru rakyat membawa beg sendiri untuk membeli-belah demi membantu mengurangkan penggunaan beg plastik.

Dalam pada masa, Elizabeth mendakwa bahawa tinjauan dijalankan kerajaan negeri mendapati orang ramai memberikan maklum balas positif terhadap pelaksanaan polisi tersebut setiap hari semenjak 1 Januari tahun ini.