Exco Nafi MPK Pernah Lulus Pertunjukan Bunga Api

Siasatan awal dan rekod mesyuarat Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunjukkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak pernah meluluskan pertunjukan bunga api dalam program Fiesta Gegar Klang 2016, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu negeri, Ean Yong Hian Wah.

Berdasarkan siasatan itu, Hian Wah mendakwa pertunjukan bunga api semasa Fiesta Gegar Klang 2016 di Kompleks Sukan Pandamaran, Sabtu lalu bukanlah acara dalam program tersebut.

“Mengikut siasatan awal dan rekod mesyuarat, MPK tidak pernah meluluskan pertunjukan bunga api dalam program Fiesta Gegar Klang 2016.

“Justeru, ia bukan salah satu komponen atau pertunjukan di dalam program rasmi Fiesta Gegar Klang 2016,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.