Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Insiden Bunga Api, Tindakan Tatatertib Kepada Bertanggungjawab

Kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden Sabtu lalu dan mengambil tindakan tatatertib kepada pihak bertanggungjawab, itu kata Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah.

Menurut Hian Wah, siasatan dalaman akan dijalankan bagi mengenal pasti punca selain pihak bertanggungjawab, sebelum tindakan susulan dilakukan bagi memastikan kejadian letupan bunga api pada sambutan ambang tahun baharu itu tidak berulang.

“Kerajaan Negeri memandang serius insiden letupan bunga api pada sambutan ambang tahun baharu di tapak Fiesta Gegar Klang 2016 Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.

“Majlis Perbandaran Klang (MPK) diarah menjalankan siasatan dalaman dengan telus bagi menentukan punca atau pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kemalangan itu berlaku.

“Tindakan disiplin atau undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab atas kesilapan ini,” katanya melalui sebuah kenyataan kepada pihak media.

Menurut Hian Wah lagi, kerajaan negeri juga telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memastikan vendor dilantik berkelayakan bagi sebarang penganjuran pertunjukan bunga api pada masa akan datang.

Dalam kejadian Sabtu lalu, 14 orang pengunjung terdiri daripada 10 dewasa dan empat kanak-kanak cedera apabila bunga api yang digunakan untuk Sambutan Ambang Tahun Baharu 2017 meletup sebelum sempat terbang ke udara.