Jalan Ditutup Sempena Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam

Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya Shah Alam akan ditutup pada 22 Januari ini sempena program Hari Tanpa Kenderaan yang diumumkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata jalan-jalan yang terlibat termasuklah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai akan mula ditutup pada jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Kata Shahrin lagi, orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan jalan terlibat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada masa tersebut, selain mencari jalan alternatif.

“MBSA menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan terlibat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“Kami juga mohon supaya pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi dituju,” katanya melalui kenyataan media.

Tambah Shahrin, rakyat seharusnya menyokong polisi Hari Tanpa Kenderaan yang akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan kerana menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Shah Alam.

Orang ramai dibenarkan menggunakan basikal, ‘roller blade’, papan luncur, ‘hover board’, berjalan kaki, dan ‘scooter blade’ di sekitar kawasan pusat bandar raya semasa hari tersebut.