‘Bebas Beg Plastik’ Selangor Gagal, Kata Ahli Parlimen Umno

Kempen ‘Bebas Beg Plastik’ setiap hari yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor sejak 1 Jan lepas, dilihat gagal dalam pelaksanaannya, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya melaksanakan kempen itu secara berfasa dan bukan secara drastik tanpa mengambil kira impak sosialnya kepada rakyat.

“Kempen alam sekitar merupakan kempen yang penting tetapi dasar ini harus menyediakan alternatif dan kajian. Ia harus disertakan dengan satu cadangan penggunaan beg kertas yang boleh dikitar semula, ini merupakan satu teknologi hijau yang boleh kita war-warkan dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan negeri juga bersikap angkuh dengan mengenakan juga caj 20 sen bagi setiap beg plastik. Pada hemat saya bila sebut kempen bebas beg plastik ia harus bebas segalanya tanpa sebarang caj,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong hari ini yang dilapor menolak cadangan penggunaan beg kertas sebagai alternatif bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kalangan pengguna.

Elizabeth yang dipetik satu portal berita pro pembangkang, memberitahu kempen itu sebenarnya mahu mendidik pengguna membawa beg sendiri ketika membeli belah, bukan untuk menggantikan beg plastik dengan bahan lain.

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan negeri sepatutnya mengeluarkan dasar-dasar yang membantu rakyat, seperti menyediakan beg kertas yang boleh dikitar semula bagi menggantikan beg plastik.

“Ini satu perkara yang timbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat… di manakah sikap sebenar yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri yang seakan-akan ingin ambil hak rakyat tanpa fikirkan keselesaan rakyat.

“Saya juga dapat laporan keluhan rakyat yang beli ikan di pasar-pasar raya adakalanya mereka terpaksa bawa balik ikan tanpa beg plastik,” katanya.

Terdahulu, Irmohizam yang juga anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghadiri taklimat Geran Sepadan dan SSPN-i/SSPN-i Plus oleh PTPTN bersama guru-guru hal ehwal murid (HEM) Daerah Petaling di sini.

Mengulas mengenai taklimat itu, beliau berkata, PTPTN kini sedang giat menggerakkan kempen untuk menggalakkan rakyat khususnya di Selangor untuk menabung dengan perbadanan itu.

“Sejak 2014 sehingga hari ini, bilangan penabung di Selangor ialah 525,763 orang dan jumlah ini perlu dipertingkatkan kerana kita mahu anak-anak di Selangor terbela masa depan pendidikan mereka bila menabung dengan PTPTN.

“Program yang dilaksanakan oleh PTPTN seperti Geran Sepadan dan SSPN-i/SSPN-i Plus ini juga menyediakan insentif dari segi pelepasan cukai pendapatan, takaful dan hadiah cabutan untuk mereka yang mempunyai penabungan tertinggi. Selain itu, program ini lebih konsisten dan bukan bersifat politik,” katanya. – BERNAMA