Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Majoriti Responden Twitter Setuju Caj Beg Plastik

Pelaksanaan caj RM0.20 untuk setiap beg plastik semenjak polisi ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ diperluaskan kepada setiap hari oleh kerajaan negeri Selangor bermula 1 Januari lalu disambut baik majoriti responden ‘poll’ yang dilakukan Selangor Press melalui Twitter (@SelangorPress) baru-baru ini.

Hasil undian yang mendapat maklum balas 2,752 responden pengguna Twitter menunjukkan 49 (1,348) peratus mereka bersetuju caj tersebut dikenakan terhadap setiap beg plastik, manakala 33 peratus (908) pula tidak bersetuju dengan caj berkenaan.

Majoriti responden berpendapat usaha tersebut baik untuk kelestarian alam sekitar, namun terdapat juga pandangan penambahbaikkan terhadap polisi berkenaan termasuk menggantikan penjualan beg plastik dengan beg biodegrasi atau beg kertas.

Jurutera, Shamsaimon Durani (@Shamsaimon71) berpendapat bahawa penggunaan beg plastik wajar diganti dengan beg kertas dan diberikan secara percuma kepada pengguna untuk menggalakan lagi polisi hijau itu.

Pendapat itu turut disokong pengguna Twitter lain termasuk Alifah Saiful (@alifahsaiful), Nadjats (@Nadjats), Pim (@Syakilla_B), Imran (@eimrawn), Amir Suhaimi (@amirsuhairi97), Indra (@ardnie). Hafiz Rashid (@hafizrashid10) dan Putain (@mdnzrn) yang turut berkongsi pandangan sama.

Seorang pengguna Twitter lagi, Kaiy Anuar (@__chenuar) pula tidak bersetuju pelaksanaan caj terhadap beg plastik, sebaliknya berpandangan bahawa penggunaan beg tersebut perlu dihapuskan terus.

Pandangannya itu turut dikongsi beberapa responden lain termasuk Fateen (@dear_fateen), Ili Ammar Zarith (@zar8th95), Keem (@KEEMbouszynkie), Ace (@NrlEtika) dan Hazwan (@zhazwan) yang merasakan keputusan membenarkan penjualan beg plastik tidak memenuhi matlamat sebenar polisi itu.

‘Poll’ tersebut turut mendapat perhatian panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail (@tunfaisal) yang mendakwa tidak menyokong pelaksanaan caj beg plastik berkenaan.

Menurut Tun Faisal, pelaksanaan caj RM0.20 yang dikenakan untuk setiap beg plastik adalah menyusah dan membebankan rakyat, selain perbelanjaan wang hasil jualan beg plastik itu tidak diketahui umum.

Polisi ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor merupakan inisiatif hijau yang dimulakan setiap hari Sabtu beberapa tahun lalu, namun diperluaskan kepada setiap hari bermula Januari tahun ini.