MPK Pakai Juruletup Tidak Bertauliah, Kata Polis Selangor

Siasatan awal polis mempercayai bahawa Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggunakan perkhidmatan juruletup tidak bertauliah untuk mengendalikan pertunjukan bunga api sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2017 sehingga menyebabkan 14 orang cedera.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapat individu yang dilantik MPK itu difahamkan tidak mempunyai lesen tauliah daripaa Polis di-Raja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Mineral dan Geosains.

Abdul Samah meminta individu tersebut bersama tiga pembantunya diberi tempoh sehingga esok untuk menyerah diri bagi membantu siasatan kes ini sebelum diburu pihak polis.

Insiden tersebut yang berlaku semasa Fiesta Gegar Klang 2016 di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, Sabtu lalu, menyebabkan 10 dewasa dan empat kanak-kanak cedera apabila bunga api tersebut meletup ke tanah dan menghala ke arah orang ramai.