MPK Roboh Tokong ‘Masjid’ Selepas Pemilik Gagal Tunai Janji

Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini bertindak meroboh sebuah tokong kecil menyerupai masjid yang tular di media sosial baru-baru ini setelah pemiliknya didakwa gagal berbuat demikian walaupun berjanji akan merobohkannya sendiri selepas sambutan tahun baru Cina.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata tindakan MPK merobohkan binaan berkenaan dilakukan mengikut Akta Parit dan Bangunan kerana mendirikan struktur konkrit tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya lagi, pemiliknya telah dimaklumkan melalui notis oleh MPK dan Pejabat Tanah dan Galian Daerah Klang kerana membina tokong tersebut di atas tanah milik kerajaan, namun tiada maklum balas positif diterima.

“Pembinaan haram ini dilakukan di tanah kerajaan. Tindakan notis oleh PTD dikeluarkan pada 24 Januari dan tamat tempoh pada 27 Januari dan pemilik berjanji untuk merobohkan sendiri selepas Tahun Baru Cina.

“Oleh itu, keengganan pihak berkenaan merobohkan struktur itu membolehkan tindakan diambil mengikut undang-undang ditetapkan, bagi tujuan pemulihan tapak asal,” katanya kepada pihak media.

Tambah Norfiza lagi, MPK turut menyediakan kemudahan logistik bagi kerja meroboh dan memulih tapak dengan dihadiri oleh wakil Pejabat Tanah dan Galian Daerah Klang, Polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Norfiza turut berkata bahawa MPK akan mengambil tindakan sama terhadap beberapa struktur binaan seumpama itu yang tidak mendapat kebenaran MPK di beberapa kawasan lain berdasarkan aduan orang ramai.

Tindakan individu tidak bertanggungjawab membina tokong menyerupai masjid itu mula ditularkan dalam media sosial semalam menimbulkan perasaan marah majoriti umat Islam.

Tokong kecil itu yang siap dibina Jumaat lalu itu dibina dengan kubah serta bulan sabit yang kebiasaannya menjadi simbol bagi sesebuah masjid.