Pemilik Tokong ‘Masjid’ Setuju Alih Binaan ke Lokasi Lain

Binaan tokong kecil menyerupai masjid di Bandar Bukit Raja, Klang yang tular di media sosial baru-baru ini akan dialihkan ke lokasi lain setelah perbincangan bersama pemiliknya setuju untuk berbuat demikian.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan-Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja, Iskandar Shah Abdul Rahman berkata binaan tersebut akan dialihkan kerana tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

Katanya lagi, hasil perbincangan dengan pihak yang membina struktur tersebut berjaya mendapat kata sepakat agar binaan itu dialihkan ke lokasi lain bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Isu ini sedang dalam proses tindakan oleh pihak Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Tanah dan Daerah Klang kerana struktur yang dibuat telah dibina di kawasan pembahagi dan tanah rezab kerajaan.

“Struktur yang dibina juga tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan sebagaimana yang telah diketahui pihak MPK dan Pejabat Tanah dan Daerah Klang telah mengeluarkan notis kepada pihak yang membina struktur tersebut.

“Saya juga telah berbincang dengan pihak yang membina struktur terbabit dan beliau juga telah bersetuju untuk mengalihkan struktur tersebut di tempat lain seperti mana yang telah dijelaskan kepada pihak MPK.” katanya melalui kenyataan kepada pihak media.

Iskandar juga meminta semua pihak agar mengambil sikap bertenang dan memberi masa kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas mereka.

Tambahnya, isu tersebut tidak wajar dihangatkan lagi dengan penyebaran maklumat palsu sehingga mencetuskan provokasi yang menganggu keharmonian penduduk di kawasan tersebut.

Isu mengenai pembinaan tokong kecil dengan reka bentuk menyerupai masjid di Bandar Bukit Raja, Klang menerima kritikan netizen selepas beberapa keping foto binaan tersebut tular di laman sosial.

Rata-rata netizen menyifatkan binaan tersebut sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan cubaan mewujudkan provokasi antara agama kerana pembinaan struktur berkenaan yang berbumbungkan kubah dan bulan sabit dianggap menyerupai tempat ibadat umat Islam.