PPIM Gesa Selangor Perjelas Hasil Jualan Beg Plastik

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesa Kerajaan Selangor memperjelaskan kepada rakyat mengenai cara wang hasil jualan beg plastik dibelanjakan semenjak polisi ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ diperluaskan kepada setiap hari bermula 1 Januari lalu.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan negeri sewajarnya memperincikan kepada umum mengenai kegunaan wang hasil jualan beg plastik agar rakyat di negeri ini tidak ragu dengan penguatkuasaan polisi terbabit.

“Kerajaan negeri perlu tampil menjelaskan mengenai hasil jualan, sekali gus dapat menenangkan hati pengguna yang terta­nya-tanya ke mana perginya hasil jualan itu,” katanya kepada sebuah akhbar arus perdana hari ini.

Katanya lagi, kerajaan Selangor mesti bersikap telus dengan memastikan hebahan dilakukan ke seluruh negeri agar polisi ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ itu dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan alam sekitar pada masa akan datang.

“Mereka (kerajaan negeri) juga harus telus dan menghebahkan program ini kepada seluruh rakyat di Selangor bagi memastikan program alam sekitar ini berjalan dengan lancar untuk jangka masa panjang,” tambahnya lagi.