Selangor Kekal Juara Demam Denggi di Malaysia

Selangor terus mencatatkan jumlah kes terkumpul demam denggi tertinggi di Malaysia dari 1 Januari hingga 28 Januari tahun ini dengan jumlah 4,009 kes, lapor Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain Selangor, empat negeri lain yang turut mencatatkan kes terkumpul demam denggi tertinggi termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (557 kes), Perak (532 kes), Johor (521 kes), Kelantan (380 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun terdapat peningkatan kes di beberapa buah negeri, namun jumlah kumulatif kes terkumpul demam denggi di seluruh negara untuk tahun ini menurun berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Malah kes kematian akibat jangkitan tersebut turut menurun kepada 13 kes berbanding 23, awal tahun 2016.

“Jumlah kumulatif kes deman denggi dari 1 hingga 21 Januari lalu adalah 5,592 kes iaitu penurunan 46.7 peratus (4,890 kes) berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 10,482 kes,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Hisham lagi, ketidaktentuan cuaca boleh meningkatkan kadar pembiakan Aedes jika takungan air dibiarkan tanpa diperiksa dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Ditanya mengenai jangkitan virus Zika, beliau berkata hanya lapan kes positif Zika dilaporkan dari 1 September sehingga 31 Disember.

Malah menurutnya lagi, pemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 1 hingga 21 Januari lalu, mendapati hasil ujian 97 sampel darah dan air kencing daripada pesakit yang menunjukkan simptom virus Zika adalah negatif.