Air Selangor Didesak Cari Solusi Masalah Paip Sering Pecah Segera

Penduduk sekitar Shah Alam mendesak agar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencari solusi segera agar kejadian paip utama pecah di sekitar bandaraya itu terutama di Seksyen 15 tidak berulang pada masa akan datang.

Seorang penduduk, Latiff Ahmad, 52, berkata kejadian paip pecah di Seksyen 15 itu bukan pertama kali, malah pernah terjadi beberapa kali dalam tempoh dua tahun lalu sehingga menyebabkan bekalan air terputus selama beberapa hari.

Katanya syarikat Air Selangor perlu mencari jalan penyelesaian termasuk memastikan masalah itu tidak berulang dan proses penggantian paip baru perlu dilakukan segera.

“Kes paip pecah ini bukan pertama kali berlaku. Kita di Batu 3 (Shah Alam) telah banyak kali berhadapan masalah ini.

“Kita harap kerajaan Selangor dan Syabas (Air Selangor) kena tukar paip lama agar kejadian paip pecah tak berulang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Maisarah Abdul Rahman, 42, berkata banyak urusan seharian terganggu akibat terputusnya bekalan air.

Dia yang juga peniaga warung mendakwa kejadian paip pecah yang berlaku tanpa sebarang pemberitahuan awal menyebabkan perniagaannya turut terganggu kerana tidak menyimpan bekalan air.