Jamal Bawa Van Jenazah, Protes Penyelewengan Dana Yawas

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila membawa 15 van jenazah bersama keranda ke Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini, sebagai tanda protes berhubung dakwaan skandal penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bernilai RM200 juta.

Jamal berkata peruntukan tersebut seharusnya disalurkan kepada Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor namun disalah guna wakil rakyat dan penyelaras DUN Pakatan Harapan di negeri ini.

Kata Jamal lagi, penggunaan dana Yawas itu seolah-olah mendapat direstu kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila pengeluaran wang daripada akaun tersebut dibuat tanpa perlu melampirkan sebarang dokumen.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, (apa) yang dilakukan beberapa wakil rakyat dan penyelaras DUN mereka menggunakan peruntukan ini untuk tujuan lain bukan membantu rakyat Selangor tetapi untuk kerja kahwin mereka,” dakwa Jamal kepada pihak media.

Jamal turut mempersoalkan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Yawas sejak ia dilancarkan.

“Yawas yang merupakan sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor dilaporkan pernah menerima peruntukan sebanyak RM200 juta sehingga tahun lalu.

“Berapakah jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Yawas sejak ia dimulakan dari tahun 2008 hingga 2016 dan apakah kaedah yang digunakan untuk menyalurkan skim berkenaan?” katanya lagi.

Tambah Jamal, dia mempunyai bukti mengenai penyelewengan dana tersebut dan bersedia untuk mengemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seandainya Azmin mengambil pendekatan berdiam diri.

Keadaan menjadi sedikit tegang apabila beberapa pemuda cuba mencetuskan provokasi semasa protes tersebut namun keadaan berjaya dikawal polis yang mengarahkan semua pihak untuk bersurai.