Manipulasi Van Jenazah, JAIS Buat Laporan Polis Terhadap Jamal

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membuat laporan polis dan siasatan berhubung manipulasi penggunaan van jenazah dalam protes Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di hadapan Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, siasatan awal JAIS mendapati terdapat unsur manipulasi terhadap pengurusan van jenazah untuk turut serta dalam protes berkenaan.

“Kerajaan Negeri sudah berbincang berkenaan perkara ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebentar tadi, manakala Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan buat laporan polis dan siasatan akan dilakukan.

“Masjid yang terlibat juga bakal diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa ada wakil Gabungan NGO Selangor menghubungi masjid untuk menyewa van jenazah kononnya untuk menjalankan sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan lain-lain.

“JAIS amat kesal dengan tindakan dilakukan beberapa individu tidak bertanggungjawab kerana mengeksploitasi kemudahan masjid bagi tujuan demonstrasi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Tindakan mereka mencemar kemuliaan institusi masjid,” katanya dalam kenyataan.

Haris berkata, semakan JAIS mendapati pemilikan van jenazah yang terlibat meliputi empat kategori iaitu dimiliki dan diselia Pegawai serta Jawatankuasa Masjid Kariah, swasta atau persendirian, agensi persekutuan yang disumbangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) juga Badan Khairat Kematian berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan yang tidak dikawal Masjid Kariah.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan Ahli Jawatankuasa Masjid untuk lebih berhati-hati, pada masa hadapan bagi mengelak eksploitasi sama.

“Semak terlebih dahulu program bakal dilaksanakan mana-mana pihak membabitkan institusi masjid supaya tidak disalahgunakan lagi,” katanya.