MPK Diri Tanda Amaran Ekoran Kemunculan Buaya Sungai Klang

Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mendirikan tanda amaran ekoran kemunculan seekor buaya dianggarkan sepanjang dua meter di Sungai Klang baru-baru ini.

Yang DiPertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, tanda amaran itu akan didirikan sebagai peringatan kepada orang ramai yang menghampiri sungai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Selangor, Abd Rahim Othman berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan penemuan reptilia itu, selain mengetahuinya melalui media sosial.

Kata Abd Rahim lagi, pihaknya sedang memantau mengenai penemuan buaya tersebut secara berkala, namun masih belum berjaya menemui reptilia tersebut.

“Kami syak buaya itu hanya melalui kawasan itu untuk kembali ke habitat asal kerana kelibatnya hanya muncul sekali sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, orang ramai yang melihat kelibat haiwan terbabit boleh menghubungi pihaknya segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Isnin lalu, seekor buaya timbul di permukaan Sungai Klang berjaya dirakamkan oleh pengguna jalan raya di jambatan Bandar Klang dan kemudian menularkannya melalui media sosial.