Kerajaan Selangor Gesa Pemaju Percepat Rumah Selangorku

Kerajaan Selangor menggesa pemaju mempercepatkan pembinaan Rumah Selangorku ekoran permintaan tinggi dari rakyat negeri ini, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Samad.

Iskandar berkata permintaan tinggi daripada pemohon Rumah Selangorku menyebabkan kerajaan negeri berhasrat meneruskan dasar sedia ada dalam memenuhi keperluan rakyat.

Kata Iskandar, selain itu bagi mempercepatkan pembinaan projek tersebut, kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada pemaju sebagai galakkan dan juga pemantauan secara berkala melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Sehingga 28 Februari lalu, seramai 132,916 pemohon memohon Rumah Selangorku dengan pecahan pemohon mengikut jenis rumah.

“Seramai 87,552 memohon bagi jenis A, 8,008 pemohon bagi jenis B, 21,762 pemohon bagi jenis C dan 15,594 pemohon jenis D,” katanya semasa sidang Dewan Undangan Negeri di Shah Alam, semalam.

Tambah Iskandar, seramai 21,510 pemohon layak telah ditawarkan Rumah Selangorku bermula dari 1 Januari 2014 hingga 28 Februari lalu.

Namun dari jumlah tersebut, hanya 65 peratus iaitu seramai 14,002 pemohon menerima tawaran unit, manakala sebanyak 35 peratus iaitu 7,508 pula menolak tawaran unit.

“Sebab utama permohonan ini ditolak kerana kegagalan pemohon memenuhi syarat kelayakan pinjaman ditetapkan oleh institusi kewangan antaranya mempunyai komitmen tinggi, tiada wang pendahuluan, disenarai hitam oleh bank.

“Selain itu, faktor lokasi dan rekabentuk juga mempengaruhi penolakan tawaran ini disebabkan oleh pemindahan tempat kerja pemohon, kemajuan kerja pembinaan baru bermula atau kerja awalan dan pemohon mempunyai pelbagai pilihan projek dan jenis Rumah Selangorku sedang dimajukan,” katanya.