Kongsi Gelap, 52 Individu Termasuk 42 Pelajar Didakwa

Seramai 52 remaja termasuk seorang penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret Klang, hari ini, kerana terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 49 daripada mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Datin Nor Asma Ahmad ketika prosiding yang dijalankan secara tertutup manakala tiga lagi mengaku bersalah.

Seramai 42 daripada mereka adalah pelajar sekolah berusia antara 15 hingga 17 tahun yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Mahadi, SMK Sri Andalas, SMK Kampung Jawa dan SMK Simpang Lima.

Mengikut pertuduhan, semua suspek bersama-sama beberapa lagi individu yang masih bebas, terbabit dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang seperti yang dipaparkan dalam video perhimpunan upacara memotong kek dihiasi angka 24.

Mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit dalam perhimpunan yang memudaratkan awam, di hadapan SMK Sri Andalas, pada jam 12.30 tengah hari, 20 April lalu dan di hadapan SMK Raja Mahadi, SMK Kampung Jawa serta SMK Simpang Lima antara jam 12.40 hingga 1.15 tengah hari, pada 21 April.

Sehubungan itu, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Nor Asma memerintahkan jaminan RM800 hingga RM1,000 dengan seorang penjamin ditawarkan kepada tertuduh.

Beliau kemudian menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi suspek yang mengaku bersalah, mengikut Akta Kanak-kanak serta sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali.