KPKT Luluskan Dana RM500 Ribu Bina Pusat Penjaja Tok Muda

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan dana RM500,000 bagi pembinaan semula pusat penjaja di Kampung Tok Muda, Klang yang dirobohkan minggu lalu.

Penyelaras Pembangunan Kerajaan Persekutuan Parlimen Kapar, Datuk Faizal Abdullah berkata KPKT akan menghantar surat permohonan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kebenaran membina serta tapak untuk membina semula pusat penjaja berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan pusat penjaja itu dijangka dibina tahun ini dan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk disiapkan.

“Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar meluluskan peruntukan untuk membina semula gerai tetapi syaratnya kerajaan negeri perlu beri kebenaran dan tanah.

“Surat berkenaan akan dihantar minggu depan kepada kerajaan negeri. Kalau cepat dapat tanah, cepat ia akan bina.

“Tan Sri dan UMNO Bahagian Kapar juga memberi sedikit sumbangan segera berjumlah RM500 kepada setiap peniaga.

“Walaupun tidak seberapa, ia dapat diharap dapat meringankan bebanan mereka terutama menjelang Ramadan,” katanya pada sidang media majlis bertemu peniaga terbabit, di Klang, hari ini.

Faizal berkata, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga bersetuju membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman yang diambil peniaga terbabit.

Khamis lalu, kira-kira 15 peniaga makanan di Kampung Tok Muda, di sini, kecewa dengan tindakan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang merobohkan gerai mereka tanpa notis.