Rumah, Kedai Musnah Akibat Pusaran Angin

Bunyi angin kencang mengejutkan Hassan Abdul Rahman daripada tidur lalu bergegas keluar mengangkat kain di ampaian kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Hassan, 54, yang menetap di Parit 7, Ban 1 1/2, Sekinchan di Sabak Bernam, tergamam apabila melihat pusaran angin di langit yang disusuli suasana ribut sebelum kembali masuk ke rumah.

“Mujurlah saya sempat masuk ke dalam rumah, kalau lambat sikit, mungkin nyawa saya pun melayang.

“Masa keluar rumah nak angkat kain di jemuran, saya dapat rasa angin kencang tetapi saya ingat keadaannya macam biasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam tempoh beberapa saat saja, katanya, ribut menggegar bumbung kediamannya.

“Dentuman itu macam bunyi bom meletup dari atas rumah.

“Saya mengejutkan isteri dan anak yang tidur di dalam bilik. Kami menggigil ketakutan apabila bumbung rumah bocor dan hujan pula berterusan lebih sejam,” katanya.

Akibat kejadian itu, rumah Hassan mengalami kerosakan teruk selepas sebahagian besar bumbung diterbangkan angin.

Sebuah kedai makan di Parit 6, Sekinchan, di Sabak Bernam, turut mengalami nasib sama.

Peniaga, Rammizzah Bachok, 49, hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 4.30 pagi selepas dimaklumkan adiknya, Mohd Hafizul Firdaus, 34.

“Adik hubungi saya kata kedai sewa kami musnah sebab ribut. Rasa nak gugur jantung sebaik tiba di kedai dan melihat keadaannya.

“Bumbung kedai tercabut, barang-barang berselerak atas lantai,” katanya.

Rammizah bersyukur kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa walaupun terpaksa menanggung kerugian besar.

“Malam tadi adik tidur di kedai kerana perlu menyiapkan tempahan roti canai tapi akhirnya tak jadi. Alhamdulillah, semuanya selamat,” katanya.