Selangor Tidak Pernah Batal Caj Plastik, Ambil Tindakan Jika Peniaga Enggan

Kerajaan Selangor tidak pernah membatalkan dasar mengenakan caj terhadap penggunaan beg plastik di negeri itu, kata Exconya, Elizabeth Wong.

Beliau yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar berkata dasar itu masih dan akan diteruskan.

Malah, mana-mana premis perniagaan yang enggan mematuhi arahan kerajaan negeri boleh menyebabkan risiko lesen operasi mereka dibatalkan.

“Mereka boleh dikenakan denda sehingga tiga kali, selepas itu lesen mereka akan ditarik balik,” katanya mengulas laporan media sebelum ini bahawa dasar itu sudahpun dihentikan.

Elizabeth yang ditemui pemberita pada majlis #PeopleCentric di Petaling Jaya, hari ini berkata, bukan hanya larangan penggunaan plastik, peniaga di negeri itu dilarang menggunakan bahan polistirena untuk tujuan pembungkusan.

Beliau juga mendedahkan bahawa kerajaan negeri merancang untuk memperluaskan dasar tanpa beg plastik di bazar Ramadhan pada bulan puasa yang jatuh pada akhir bulan ini.

Selangor memulakan dasar tiada beg plastik percuma seminggu sekali sejak tahun 2010 tetapi ia telah diperluaskan setiap hari bermula tahun ini.