Menarik
Tarikh Hari Ini
18 August 2017

Chegu Bard Desak Azmin Dedah Rundingan Timbang Tara MBI-Jana Niaga

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan kepada umum rundingan timbang tara antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Jana Niaga Sdn Bhd (Jana Niaga) yang didakwanya merugikan Universiti Selangor (Unisel).

Badrul Hisham berkata keputusan MBI untuk membayar jutaan ringgit kepada Jana Niaga membelakangkan keputusan pengurusan Unisel, selain menimbulkan pelbagai persoalan mengenai urusan tersebut.

Katanya, kontrak antara Unisel dan Jana Niaga telah dihentikan semasa pemerintahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disebabkan kegagalan syarikat itu memberikan perkhidmatan memuaskan kepada Unisel.

“Menteri Besar sebelum ini, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim telah dihentikan pembayaran kepada syarikat Jana Niaga yang mempunyai kontrak kerja dengan UNISEL kerana isu perkhidmatan yang tidak memuaskan.

“Kes ini telah dibawa ke mahkamah oleh pihak yang menuntut pembayaran. Mahkamah telah membuat keputusan menyebelahi UNISEL maka sudah tentu ada asas yang kukuh disitu,” katanya melalui satu kenyataan, semalam.

Tambah Badrul Hisham keputusan MBI meneruskan pembayaran dengan beberapa bukti baucer bernilai RM10 juta dan RM6 juta membelakangkan keputusan Unisel dan dibuat tanpa keputusan pengurusan universiti milik kerajaan negeri itu.

“Ketika Azmin Ali mengambil alih jawatan Menteri Besa MBI telah diadakan satu rundingan yang dalam terma perundanganya ‘timbang tara’, malah menurut dokumen yang diperolehi dinayatakan dengan jelas Unisel tidak bersetuju malah ada peringkat tertentu tidak mengetahui tentang ‘rundingan timbang tara’ yang berakhir dengan Menteri Besar Incoprated membayar jutaan wang terus kepada Jana Niaga dan memindahkan ia dalam bentuk hutang Unisel kepada MBI.

“Oleh yang demikian menjadi tandatanya bilakah timbang tara itu diputuskan dan mengapa MBI perlu membayar kepada syarikat (Jana Niaga) sedangkan mahkamah memberi kemenangan kes kepada Unisel.”

Menurut Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegu Bard, kenyataan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa Unisel dan Jana Niaga sudah tidak mempunyai sebarang kontrak menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai keputusan MBI membayar sejumlah wang kepada syarikat itu.

“Namun malangnya merujuk kepada berita Malaysiakini yang melaporkan respon Nik Nazmi dalam isu ini bukan sahaja dia gagal menjawab isu pokok tetapi ia didapati kemungkinan menipu apabila Nik Nazmi dilaporkan berkata “Pada masa ini, Unisel dan Jana Niaga sudah tidak ada hubungan kontrak,” katanya lagi.

Skandal pembayaran MBI kepada Jana Niaga hangat diperkatakan apabila beberapa pihak mendakwa menerima dokumen berkaitan hal tersebut, namun sehingga kini tiada jawapan diberikan Mohamed Azmin dan pengurusan MBI berkaitan hal itu.