Lebih 100 Hektar Kawasan Hutan Simpan Selangor Terbakar

Lebih 100 hektar kawasan Hutan Simpan Raja Musa, Bestari Jaya dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara terbakar sejak beberapa hari lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata Hutan Simpan Raja Musa dikesan terbakar kira-kira 6.30 petang, 6 Ogos, melibatkan kawasan seluas 120 hektar.

“Kebakaran dikesan bermula di kawasan tanah terbiar dan marak akibat angin kencang dan merebak ke kawasan hutan simpan. Sebanyak 110 hektar daripada kebakaran itu berjaya dipadamkan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Katanya operasi pemadaman melibatkan 49 orang daripada pelbagai agensi pasukan keselamatan.
Sementara itu Mohd Sani berkata kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara mula dikesan sejak 12.40 tengah hari 3 Ogos lepas, melibatkan kira-kira 9.9 hektar kawasan yang dapat dikawal pada hari yang sama.

“Bagaimanapun pada 7 Ogos, asap tebal dikesan pada jarak 200 meter dari lokasi kebakaran sedia ada di kawasan seluas 28.17 hektar. Setakat hari ini kebakaran dapat dikawal daripada merebak dan operasi pemadaman masih diteruskan,” katanya. – BERNAMA