Peserta Larian Sukan SEA Dakwa Wujud Kasta Warna Baju

Beberapa peserta Larian Obor Sukan SEA 2017 yang berlepas dari Kuala Selangor, pagi ini, meluahkan kekecewaan apabila didakwa dilayan secara biadab dan dihalau semasa berlari di barisan hadapan oleh urus setia hanya disebabkan tidak memakai baju rasmi larian itu yang berwarna putih.

Seorang peserta, Aemierulrizaki Rambli, 36, berkata tindakan urus setia yang menghalau beberapa peserta yang berada di barisan hadapan semasa larian berlangsung disebabkan memakai baju dengan warna lain amat dikesali seolah-olah menggambarkan wujudnya sentimen “kasta” berdasarkan warna pakaian.

Kata Aemirulrizaki, tindakan seperti itu jelas mencemari acara larian itu kerana menafikan hak setiap rakyat untuk bersama-sama memeriahkan acara berkenaan, selain menonjolkan semangat dan sokongan mereka terhadap temasya Sukan SEA 2017 yang berlangsung Ogos ini.

“Saya sangat kecewa apabila hanya mereka yang berbaju putih saja dibenarkan berlari di barisan hadapan, sedangkan kami yang berbaju biru dan lain-lain (warna) dihalau.

“Paling kecewa apabila penganjur bertindak kasar seolah-olah peserta larian ini yang tidak berbaju putih, tidak layak berada di barisan hadapan.

“Ingin saya nyatakan, ini sukan. Semangat kesukanan bukan sekadar gimik. Ianya dipupuk dengan jiwa, semangat, kesusahpayahan dan semangat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Seorang lagi peserta, Mohd Firdaus Mohd Ramlan, 27, berkata sikap urus setia yang dilihat terlalu mengutamakan protokol sehingga menyebabkan peserta terasa dibezakan mengikut warna baju tidak menggambarkan semangaat kesukanan sebenar.

Katanya, seharusnya larian seperti ini tidak dibezakan dengan warna baju dan sesiapa sahaja layak berada di barisan hadapan bersama-sama pemegang obor sebagai tanda sokongan terhadap temasya sukan itu.

Dia yang datang dari Shah Alam semata-mata untuk turut serta dalam larian berkenaan kecewa apabila urus setia larian bertindak menghalau mereka yang tidak memakai baju rasmi larian dari berada bersama-sama pemegang obor.

“Manalah saya tahu larian ini ada baju rasmi. Saya datang semata-mata mahu menyokong larian ini, tetapi tindakan mereka (urus setia) menyebabkan saya rasa tidak seronok.

“Patutnya sesiapa sahaja boleh berlari di belakang pemegang obor. Ini tidak, mereka (urus setia) halau kita dan layanan mereka agak kasar. Katanya motto Sukan SEA “Rising Together” tetapi tindakan mereka sebaliknya,” katanya lagi.