Anak Mohon Maaf, Kesal Dengan Perbuatan Pukul Emak Sendiri

Seorang pelajar lelaki yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu kerana didakwa memukul ibunya memohon maaf kepada keluarganya dan menyatakan kesal dengan perbuatan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seraya, Ampang, Nordiana Othman yang telah mengunjungi keluarga terbabit semalam.

Kata Nordiana, kes tersebut dianggap telah selesai selepas pihaknya dan wakil pihak sekolah mengadakan pertemuan dan melakukan beberapa inisiatif berkaitan.

“Selaku PIBG kita telah mengambil inisiatif untuk mengesan, menyelesaikan masalah serta memberikan dorongan kepada pelajar serta keluarganya tanpa berbuat apa-apa. Sebenarnya pelajar ini berperwatakan baik dan suka menolong orang lain lebih-lebih lagi dengan jiran.

“Jadi kepada orang ramai kita harapkan tidak terlalu mudah untuk menghukum sebaliknya memberikan sokongan kepada keluarga itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komiso­ner Hamzah Alias pula berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Katanya, remaja terbabit dan ibunya yang berusia 39 tahun telah dipanggil bagi mendapatkan keterangan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan kes berkenaan me­rangkumi semua elemen. Jika perlu, kita akan panggil individu yang memuat naik video tersebut di laman Facebook.

“Buat masa ini, kita tidak boleh buat andaian kerana tidak tahu siapa yang menyebarkan video, mungkin guru atau individu yang merakam video itu yang sebarkan. Berilah kita siasat dahulu,” jelasnya.