MPK Lulus Pesta Arak, Larang Penganjur Guna Perkataan “Oktoberfest”

Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah berani dengan meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman di sebuah pusat beli-belah di daerah, namun menetapkan syarat melarang penganjur menggunakan perkataan “Oktoberfest” dalam acara tersebut.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata kelulusan tersebut diberikan secara bersyarat dan perlu dipatuhi penganjur termasuklah melarang umat Islam menyertai pesta tersebut dan perlu mendapatkan permit dari pihak lain seperti Pejabat Tanah dan Galian Daerah Klang, Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)

Katanya, walaupun mendapat bantahan dua ahli majlis MPK dari parti Pas dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan itu semalam, namun kelulusan tetap kelulusan itu diberikan kepada Centro Mall, Klang, kerana pesta tersebut diadakan di premis perniagaan persendirian dan mendapat sokongan sebahagian ahli MPK yang lain.

Isu penganjuran pesta arak mula mendapat perhatian umum selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan kelulusan “Festival Better Beer 2017” yang dijangka berlangsung pada 6 hingga 7 Oktober ini di Galeri Beli-Belah Publika atas alasan ‘sensitiviti politik.’

Tindakan DBKL membatalkan penganjuran pesta arak pada 18 September lalu mendapat tentangan pemimpin politik bukan Islam terutama dari parti DAP yang beranggapan tindakan tersebut mencabul hak rakyat bukan Muslim.

Bagaimanapun tindakan DBKL itu dosokong oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melalui satu kenyataan pada 21 September lalu yang menyatakan bahawa wujud ancaman militan termasuk unsur sabotaj dan kekacauan andai acara tersebut diteruskan.

“Centro German F&B Party” dijadualkan bakal berlangsung di pusat beli-belah berkenaan mulai 5.00 petang hingga 11.00 malam pada 12 dan 13 Oktober ini, namun melalui semakan di Facebook dan laman web pusat beli-belah berkenaan mendapati belum ada promosi berkaitan pesta tersebut.