Selangor Sedia Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah SPRM Jika Syarat Diikuti

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan kesediaan kerajaan pimpinannya untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) seandainya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menerima cadangan pihaknya bagi menambah baik pelaksanaan pendekatan tersebut.

Mohamed Azmin berkata kerajaan pimpinannya mendukung penuh usaha SPRM untuk memastikan kerajaan ditadbirnya bebas dari rasuah dan salah guna kuasa, namun meminta SPRM menerima beberapa cadangan yang dikemukan termasuk pengisytiharan kepentingan dimasukkan dalam IBR kerajaan Selangor.

“Saya sebut dengan jelas kita mendukung usaha SPRM untuk memperkenalkan IBR. Saya telah maklumkan secara rasmi kepada SPRM Selangor bahawa IBR itu perlu ditambah baik dengan beberapa cadangan lain sebagai contoh Pulau Pinang adanya IBR Plus 10.

“Di Selangor kita ada borang pengisytiharan kepentingan dan ia boleh dimasukkan dalam IBR Plus (di Selangor). Perkara ini sedang dibincangkan melalui setiausaha (kerajaan) negeri. Namun yang penting kerajaan negeri mendukung usaha SPRM memerangi rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Malaysia Baru di Muzium Sultan Alam Shah, hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu turut mengkritik pelaksanaan IBR yang dianggap tidak menjamin budaya bebas rasuah kerana hanya melibatkan acara mengangkat tangan dengan membaca ikrar.

“SPRM perlu nyatakan langkah yang lebih efektif bukannya sekadar angkat ikrar sahaja. Contoh lepas angkat ikrar apa berlaku? Ada kemungkinan angkat di atas kaut di bawah,” katanya.

SPRM pada minggu lalu memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu jawapan balas kerajaan pimpinan Mohamed Azmin berhubung dengan IBR.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata semua kerajaan negeri telah pun melafazkan dan menandatangani ikrar tersebut kecuali Selangor.

Kata Dzulkifli, ikrar berkenaan dianggap penting untuk membuktikan komitmen kerajaan yang mentabdir negeri bebas rasuah dan salah guna kuasa.