Festival Arak Hanya Diluluskan Jika Penganjur Penuhi Syarat PBT, Kata Azmin Ali

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa sebarang kelulusan penganjuran festival atau pesta membabitkan minuman keras hanya akan diberikan jika semua syarat dipenuhi pihak penganjur.

Mohamed Azmin berkata, isu tersebut tidak seharusnya diperbesar-besarkan kerana kelulusan berkenaan pesta seumpama itu sentiasa tertakluk kepada syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita (PBT) pernah luluskan sebelum ini dan tahun sebelum itu. Kita juga tidak mempunyai masalah untuk meluluskan lagi, namun penganjur harus memenuhi syarat ditentukan PBT,” katanya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan & Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata kelulusan penganjuran sebarang festival seumpama itu adalah di bawah bidang kuasa PBT berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan.

Menurut Chang Khim, kelulusan hanya akan diberikan selepas PBT mempertimbangkan permohonan dan mendengar bantahan dikemukakan pihak tertentu.

“Inilah demokrasi iaitu kita dengar kehendak dan suara semua pihak serta mempertimbang berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Seperti sekarang, ada PBT yang memberi kelulusan tetapi ada juga yang masih tidak membuat keputusan kerana terdapat syarat tidak dipenuhi penganjur,” katanya.

Kontroversi mengenai penganjuran pesta arak di negeri ini berlaku ekoran keputusan Majlis Perbandaran Klang (MPK) membenarkan permohonan penganjur “Centro Mall German Food & Beverage Festival” selepas penganjur mematuhi syarat ditetapkan, selain didakwa mendapat sokongan bersyarat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Selain MPK, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPH) turut menerima permohonan pesta berkenaan, namun sehingga kini belum memutuskan untuk memberi kelulusan penganjuran Oktoberfest 2017 disebabkan penganjur tidak mematuhi syarat ditetapkan.